Gawai Dayak merupakan perayaan yang disambut di Sarawak oleh kaum peribumi Sarawak, terutamanya Iban, Bidayuh dan Orang Ulu seperti Kayan dan Kenyah, dan juga komuniti dayak di Kalimantan Barat.
Gawai bermaksud pesta. Gawai Dayak merupakan hari menyambut tahun baru yang ditandakan dengan berakhirnya musim menuai padi dan bermulanya musim menanam padi yang baharu. Oleh itu, Sambutan Gawai Dayak akan disambut setiap 1 Jun pada setiap tahun.
Persediaan menyambut Gawai Dayak bermula apabila tibanya bulan Mei dengan proses penapaian "tuak" iaitu sejenis minuman tradisi komuniti Dayak. Penapaian tuak mengambil masa kira-kira sebulan. Tuak dihasilkan daripada penapaian nasi pulut yang elah dimasak dan dicampur ragi sebelum disimpan didalam tempayan.
Apabila sudah ada sedikit air tuak tulen pada nasi pulut yang ditapai, air yang telah dimasak dan dicampur gula akan ditambahkan secukupnya mengikut banyaknya nasi pulut tersebut. Pada akhir bulan Mei, air tuak itu boleh ditapis dan diminum.
Setelah siap membuat tuak iaitu selepas pertengahan bulan Mei, kaum wanita akan membuat kuih-muih tradisi orang Dayak yang dipanggil "kuih sepit", "kuih bahulu", "kuih jala", "kuih bakul" dan "acuan". Kuih-muih yang telah siap akan disimpan dalam tin supaya tahan untuk beberapa minggu tanpa basi sementara menunggu tibanya hari Gawai. Manakala "pangkang" atau "lemang" akan dibuat sehari sebelum tibanya hari Gawai. "Pangkang" adalah sebutan dalam bahasa bidayuh yang juga merupakan salah satu makanan tradisional kaum Bidayuh dan sama seperti "lemang" yang cuma berbeza dari segi pembuatannya tanpa santan dan daun pisang. Selain itu, makanan tradisi kaum Bidayuh iaitu lebih dikenali dengan "assam" atau "Nasi ayam dalam buluh" yang dimasak dalam ruas buluh supaya ada aroma istimewa daripada buluh.
Sebelum berakhirnya bulan Mei, gotong-royong akan diadakan untuk aktiviti pembersihan dan menghias kawasan pintu gerbang kampung terutamanya rumah panjang dengan jalur yang berwarna-warni untuk menyerikan suasana Hari Gawai. Selain itu, sebatang pokok yang dikenali sebagai "Ranyai" akan didirikan di tengah ruang dan dihiasi dengan makanan,kuih-muih dan minuman.
Ketua kampung akan mengadakan mesyuarat untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi mengatur acara sambutan gawai pada 31 Mei dan 1 Jun. Acara-acara tradisi termasuklah pertandingan ratu cantik dan sukaneka bagi memeriahkan lagi suasana gawai. Peraturan-peraturan khas akan ditetapkan dan harus dipatuhi oleh orang ramai untuk menjaga suasana gawai yang meriah tanpa pergaduhan dan gangguan yang lain.
Apabila tibanya pagi 1 Jun, penduduk kampung akan berkumpul untuk menghadiri upacara sembahyang di gereja. Setelah selesai, penduduk kampung akan pulang ke rumah masing-masing untuk menyediakan makanan tradisional, lauk-pauk dan minuman bagi menyambut kedatangan para tetamu yang akan berkunjung ke rumah yang disebut sebagai "ngabang". Menjelangnya tengahari, penduduk kampung akan mula berkumpul dirumah panjang untuk menyediakan cabutan tiket bertuah dan membentangkan tikar-tikar anyaman tradisi disepanjang ruai ruamh. Jenis-jenis tikar tradisi termasuklah tikar bemban,tikar rotan dan tikar kulit kayu.
Tibanya waktu petang, bermulalah upacara yang pertama iaitu kaum lelaki akan menjalankan tanggungjawab masing-masing seperti memukul gong dengan memakai baju tradisional manakala kaum wanita akan memakai pakaian tradisional yang dipadankan dengan selendang berwarna merah dan aksesori pada tangan mankala manik pada leher. Sepanjang alunan gong didendangkan, kaum wanita diketuai oleh isteri Ketua Kampung akan menari yang dikenali dengan "bilanggi" oleh kaum bidayuh secara beramai-ramai tidak kira tua atau muda. Setelah kaum wanita selesai membuat satu pusingan di sepanjang rumah panjang tersebut, upacara "bilanggi" diikuti pula dengan kaum lelaki yang diketuai oleh Ketua Kampung dan gong pula akan dimainkan oleh kaum wanita.
Acara seterusnya diikuti dengan ucapan daripada Ketua Kampung dan setelah itu, barulah bermula acara cabutan tiket bertuah dan acara sukaneka "Fancy Dress" yang merupakan pakaian wanita dan dipakaikan oleh kaum lelaki sebagai jenaka disamping memeriahkan lagi suasana tersebut. Seterusnya, acara terakhir adalah acara berjoget secara beramai-ramai bermula dengan lagu dan nyanyian yang didendangkan oleh kugiran langsung.
No comments:
Post a Comment